Dec
11th

1,191 kes tipu perbankan internet

Files under internet | Posted by admin

Sebanyak 1,191 kes penipuan membabitkan wang berjumlah RM1 juta, dipindahkan melalui perbankan Internet dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung berkata jumlah kes penipuan itu masih kecil berbanding jumlah keseluruhan transaksi perbankan Internet dalam tempoh yang sama.

“Keseluruhan transaksi Internet bagi tempoh Jan hingga Jun tahun ini berjumlah 50.3 juta, melibatkan RM348.5 bilion, dengan kerugian hanya dalam lingkungan RM1 juta iaitu 0.0003 peratus sahaja,” katanya menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) pada persidangan Dewan Rakyat.

Fong ingin mengetahui bilangan kes jenayah perbankan Internet yang dikesan serta nilai kerugian yang dialami pemegang akaun bank.

Chor berkata antara langkah yang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memastikan keselamatan penggunaan perbankan elektronik ialah dengan mengeluarkan garis panduan kawalan keselamatan yang perlu dipatuhi oleh semua institusi yang menyediakan perbankan Internet dan ATM.

“BNM juga telah mengarahkan pelaksanaan penentusahan dua faktor bagi transaksi perbankan Internet yang berisiko tinggi.

“Penentusahan faktor pertama iaitu nama pengguna dan nombor PIN akan dilengkapi dengan penentusahan faktor kedua melalui penggunaan alat penentusahan tambahan seperti kod kebenaran transaksi yang diperoleh melalui sistem pesanan ringkas (SMS), sijil digital, kad pintar atau token Universal Serial Bus (USB),” katanya.

Beliau berkata institusi perbankan juga perlu memastikan infrastruktur sistemnya dilengkapi kawalan keselamatan bagi mengesan dan melaporkan sebarang transaksi perbankan yang mencurigakan.

“Institusi perbankan juga dikehendaki melaporkan sebarang kejadian penipuan dengan segera kepada BNM selain menjalankan program pendidikan dan kesedaran pelanggan secara berterusan mengenai keselamatan dan langkah berjaga-jaga terhadap penipuan perbankan elektronik ini,” katanya. -BERNAMA


One Response to “1,191 kes tipu perbankan internet”

  1. By Suhaimi on Dec 27, 2009 | Reply

    Satu laporan baik dan semua pihak kenalah berhati-hati dengan penipuan ini. Saya sering didatangkan dengan email spam yang meminta semua maklumat berkait dengan perbankan internet saya.
    Saya tidak ikut arahan penjenayah siber ini sebaliknya saya telah membuat laporan kepada pihak bank berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Post a Comment